Salam Perjuangan

Di sini saya mengucap syukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan olehnya untuk sama-sama berkongsi ilmu dan memupuk ukhwah sesama kita. Saya berharap blog saya ini dapat memberi manfaat kepada diri saya dan orang lain

Thursday, June 17, 2010

Kisah Siti Asiah Dan Siti Masyitah



Tersebutlah alkisah di negeri Mesir terdapat kerajaan yang diketuai oleh raja yang terakhir bernama Fir’aun yang terkenal dengan keganasan dan tidak berperikemanusian. Setelah kematian isterinya beliau hidup bersendirian tanpa teman hidup. Pada ketika itu tersebutlah satu kisah di mana seorang gadis jelita dari keturunan keluarga Imran yang baik-baik dan solehah yang bernama Siti Asiah yang sentiasa menjadi sebutan di kalangan pemuda-pemuda Mesir kerana keperibadian dan kejelitaannya.
Kisah kejelitaan Siti Asiah telah sampai ke telinga Fir’aun dan suatu hari beliau teringin untuk memperisterikan Asiah sebagai permaisurinya. Maka diutuskan seorang Menteri bernama Haman untuk merisik. Ibu bapa Asiah telah bertanya kepada tuan empunya diri tetapi Asiah telah menolak lamaran tersebut dan berkata kepada kedua ibu bapanya bahawa Fir’aun adalah seorang raja yang ingkar kepada Allah SWT dan tidak berperikemanusiaan.
Tidak lama kemudian Haman, utusan Fir’aun datang kembali untuk bertanyakan tentang lamaran tersebut dan alangkah marahnya beliau setelah mendapat tahu yang lamaran Fir’aun telah ditolak. Ibu bapa Asiah telah dicaci dan dihina. Haman kemudian telah pulang dan memberitahu kepada Fir’aun akan berita buruk tersebut dan Fir’aun telah menjadi marah dan memerintahkan supaya kedua ibu bapa Asiah ditangkap. Mereka telah diseksa dan dimasukkan ke dalam penjara. Setelah itu Asiah ditangkap dengan menggunakan kekerasan dan kemudian dibawa ke istana Fir’aun dan bertemu dengannya. Di hapadapan Fir’aun, Asiah kemudiannya telah diketemukan dengan kedua ibu bapanya di dalam penjara. Asiah amat sedih melihat keadaan kedua orang tuanya yang disiksa oleh Fir’aun.
Kemudian Fir’aun berkata:
“Hai Asiah, jika engkau seorang anak yang baik, tentulah engkau akan sayang terhadap orang tuamu, maka oleh kerana itu engkau boleh pilih satu antara dua. Kalau kau menerima lamaranku bererti engkau akan hidup senang dan akan aku bebaskan kedua orang tuamu. Dan sebaliknya jika engkau menolak lamaranku,maka aku akan perintahkan mereka untuk membakar hidup-hidup kedua orang tuamu di hadapanmu.”
Oleh kerana ancaman itu, maka Siti Asiah terpaksa menerima pinangan Fir’aun akan tetapi beliau telah meletakkan beberapa syarat:
1. Bahawa Fir’aun harus membebaskan kedua ibubapanya.2. Harus membuatkan rumah yang indah lengkap dengan perkakas3. Bahawa orang tuanya harus dijamin kesihatan beserta makan dan minumnya.4. Bahawa Asiah bersedia menjadi isteri Fir’aun, hadir dalam acara-acara tertentu tetapi tidak bersedia tidur bersama Fir’aun.
Sekiranya permintaan-permintaan tersebut tidak dipersetujui, beliau rela mati dibunuh bersama kedua ibu bapanya.
Akhirnya Fir’aun bersetuju menerima syarat-syarat tersebut dan memerintahkan agar rantai belengu yang ada di kaki dan tangan Asiah dibuka. Kini Asiah telah hidup mewah dan tinggal bersama-sama Fir’aun di dalam istana yang indah. Akan tetapi ia tidak membawa pengaruh terhadap kehidupan peribadi Asiah. Asiah tidak pernah engkar terhadap perintah agama dan beliau tetap taat mengerjakan ibadah kepada Allah SWT. Pada malam hari beliau selalu mengerjakan solat dan beribadah kepada Allah SWT. Beliau sentiasa berdoa agar kehormatannya tidak disentuh oleh orang kafir miskipun suaminya Fir’aun. Bagi menyelamatkan Asiah dan menjaga kehormatannya, Allah SWT telah menciptakan iblis yang menyamar dirinya sama seperti rupa Asiah untuk tidur bersama Fir’aun.
Fir’aun sebenarnya mempunyai seorang pegawai yang amat dipercayai dan rapat dengannya yang bernama Hazaqil. Hazaqil telah berjaya merahsiakan identitinya yang sebenar. Hazaqil amat taat dan beriman kepada Allah SWT. Beliau adalah suami kepada Siti Masyithah yang bekerja sebagai juru hias istana yang juga amat taat dan beriman kepada Allah SWT.
Pada suatu hari maka terjadilah perdebatan yang hebat antara Fir’aun dengan Hazaqil di mana Fir’aun telah menjatuhkan hukuman mati terhadap ahli sihir yang beriman kepada Nabi Musa AS. Hazaqil menetang keras terhadap hukuman yang dijatuhkan kepada mereka semua kerana mereka semuanya beriman kepada Allah SWT. Mendengar akan kata-kata Hazaqil, Fir’aun menjadi marah. Akhirnya Fir’aun dapat tahu yang Hazaqil telah engkar kepada beliau dan kemudiannya telah dijatuhkan hukuman mati kepada Hazaqil. Hazaqil menerimanya dengan tabah dan tidak merasa gentar demi untuk membela kebenaran. Hazaqil telah meninggal dunia dengan kedua-dua tangannya diikat pada pohon kurma dengan tembusan beberapa anak panah. Isterinya yang bernama Masyitah amat sedih sekali di atas kematian suaminya yang tersayang itu. Beliau sentiasa dirundung kesedihan dan tiada lagi tempat mengadu kecuali kepada 2 orang anaknya yang masih kecil. Pada suatu hari Masyitah telah mengadu nasib kepada Asiah mengenai nasib yang menimpa dirinya. Di akhir perbicaraan mereka, Asiah juga telah menceritakan tentang keadaan dirinya yang sebenar. Hasil dari perbicaraan itu, barulah kedua-duanya mengetahui perkara sebenar bahawa mereka adalah wanita yang amat beriman kepada Allah SWT dan Nabi Musa AS.
Pada suatu hari ketika Masyitah sedang menyisir rambut puteri Fir’aun, sisirnya jatuh dan ketika hendak mengambilnya, Masyitah seraya berkata:“Dengan nama Allah binasalah Fir’aun”.Mendengarkan akan ucapan Masyitah, Puteri Fir’aun telah menegur Masyitah dan beliau rasa tersinggung dengan ucapan Maysitah itu. Beliau telah melaporkan kepada ayahandanya. Masyitah tidak sedikit pun berasa gentar dengan kata-katanya itu. Masyitah akhirnya telah dipanggil oleh Fir’aun dan Fir’aun telah bertanya kepada Masyitah tentang ucapannya itu dan siapakah Tuhan yang disembahnya. Masyitah telah mengaku tentang apa yang telah diucapkannya dan dengan beraninya berkata:“Tiada Tuhan selain Allah SWT yang sesungguhnya menguasai segala alam dan isinya”
Mendengar jawapan dari Masyitah, Fir’aun menjadi amat marah dah memerintahkan pengawalnya untuk memanaskan minyak di dalam kuali yang besar, maka minyak itu dipanaskan sehingga mendidih, kemudian orang ramai dipanggil untuk menyaksikan hukuman yang telah dijatuhkan ke atas Masyitah. Masyitah sekali lagi dipanggil oleh Fir’aun dan diberi pilihan iaitu:
(i) Jika Masyitah ingin selamat bersama kedua anaknya, beliau haruslah engkar terhadap Allah SWT.(ii) Masyitah haruslah mengaku bahawa Fir’aun adalah Tuhan yang disembah. Jika tidak mengaku Fir’aun sebagai Tuhannya, Masyitah akan dimasukkan ke dalam kuali bersama anak-anaknya.
Akan tetapi Masyitah tetap dengan pendiriannya yang beriman kepada Allah SWT. Masyitah pun membawa kedua anaknya itu untuk menuju ke kuali tersebut. Beliau memandang akan anak yang sedang menyusu yang berada dalam pelukannya. Tetapi dengan takdir Tuhan, anaknya yang masih kecil itu pun berkata supaya jangan takut dan sangsi kerana kematiannya itu akan mendapat ganjaran dari Allah SWT dan pintu syurga terbuka menanti kedatangan mereka.
Kemudian Masyitah dan anak-anaknya pun terjun ke kuali yang mendidih tersebut tanpa mengeluarkan jeritan dari mulutnya. Dan saat itu pun terjadi keanehan di mana tiba-tiba terciumlah bau wangi yang harum semerbak dari kuali itu.
Asiah yang telah menyaksikan kejadian itu telah memarahi Fir’aun dengan kata-kata yang pedas dan tidak sudi lagi menjadi isteri Fir’aun dan sanggup mati seperti Masyitah. Mendengar ucapan Asiah, Fir’aun telah menjadi marah dan menganggap bahawa Asiah gila. Fir’aun kemudiannya telah menyiksa Asiah tanpa diberi makan dan minum sehingga Asiah meninggal dunia. Tetapi sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, ia sempat berdoa kepada Allah SWT sebagaimana yang tersirat dalam Al-Quran:
Maksudnya:“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang mengatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir bahawa kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Fir’aun, ketika ia berkata: Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga, dan selamatkanlah daku dari Fir’aun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim”.(Surah At-Tahrim: Ayat 11)
Demikianlah kisah Asiah dan Masyitah, semoga kita dapat mengambil iktibar dan mengikuti jejaknya, hingga kedua-duanya meninggal dalam keadaan iman yang teguh terhadap Allah SWT. Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat kepada keduanya. Amin….

No comments:

Post a Comment